Oleh:KHAIRUL AZLAM MOHAMAD (HarakahDaily.Net)
Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/7655-tg-ibrahim-gesa-rujuk-perjanjian-asal
Gesaan itu, disarankan oleh Kerabat
DiRaja Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail
Nasharuddin Shah yang mahukan Kerajaan PH membayar terus royalti lima
peratus kepada kerajaan negeri ini.
Malah, beliau bersetuju dengan pendirian
Kerajaan Negeri Kelantan menuntut lima peratus royalti seperti
negeri-negeri pengeluar minyak lain.
"Saya setuju dengan saranan (Kelantan)
itu. Sebab apa? Kita balik kepada perjanjian asal melalui Akta Kemajuan
Petroleum 1974. Perjanjian asal mengatakan bayaran sebanyak lima peratus
tunai.
"Saya harap negeri Terengganu terima
dahulu lima peratus itu dengan syarat, wang royalti itu hendaklah
dibayar terus kepada kerajaan negeri dua kali setahun. Jika tidak silap
saya bulan April dan September setiap tahun," jelasnya.
Beliau selaku Penaung Majlis
Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berkata demikian ketika ditemui
Harakah di pejabatnya, Jalan Batas Baru, di sini semalam.
Mengulas cadangan Pengerusi PH Kelantan,
Husam Musa yang mahu penubuhan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri
Kelantan diwujudkan bagi mengurus peruntukan Persekutuan, Tengku Ibrahim
tidak bersetuju.
Katanya, cadangan Husam itu tidak
dipersetujui kerana mengikut perjanjian asal pihak Petronas diwajibkan
membayar lima peratus tunai kepada negeri Terengganu.
"Saya tidak setuju sebab, dalam perjanjian asal tidak disebut pun perkara itu dan bercanggah.
"Kerajaan PH pula janganlah membuat
pusingan (helah) sebab minyak ini kurniaan Allah Taala untuk rakyat
Terengganu, bukan untuk PAS, bukan untuk Umno, bukan untuk BN.
"Tapi, untuk rakyat negeri Terengganu.
Kebetulan pula Terengganu sekarang ini diperintah oleh PAS. Saya pula
bukan anti kerajaan Pakatan Harapan," tegasnya.
Tengku Ibrahim melahirkan rasa
kebimbangan itu jika, Kelantan ditubuhkan (Majlis Tindakan dan
Pembangunan Ekonomi), sudah pasti Terengganu juga akan diwujudkan itu.
"Wang (royalti) ini akan digunakan untuk pembangunan negeri Terengganu dan menaiktaraf hidup rakyat yang miskin di luar bandar.
"Maka, tidak elok jika kerajaan PH
menyekat atau menafikan hak bayaran (royalti) terus kepada negeri
(Terengganu)," ujarnya dengan rasa terkilan.
Sebaliknya, kata beliau akan terus
berjuang dan bersuara bagi menuntut hak rakyat negeri ini, yang pernah
dinafikan bayaran royalti ketika Umno-BN memerintah Terengganu.
Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan
pimpinan PH dan Kerajaan PAS Terengganu boleh merujuk kepada dua tokoh,
iaitu Tengku Razaliegh dan Tun Dr Mohd Salleh Abas, yang terlibat secara
langsung merangka draf perjanjian tersebut. -HARAKAHDAILY 3/8/2018
Comments
Post a Comment